Photobucket - Video and Image Hosting

Remp-It perakam keegoan dan kehidupan anak muda

Filem: Remp-It
Arahan: Ahmad Idham
Lakon layar: Ahmad Idham & Farid Kamil
Antara pelakon: Farid Kamil, Julia Hana, Zul Huzaimy dan Cat Farish

Remp-It ialah filem anak muda. Filem ini penuh dengan aksi. Motosikal menjadi bintang utama filem ini. Filem ini bukanlah sebuah melodrama airmata, peristiwa berlalu tanpa sesalan. Malah dialog dalam filem ini penuh dengan slanga ‘kutu’ anak muda kota.

Memang filem ini bukan dalam bentuk struktur drama yang lazim. Yang dipaparkan hanyalah peristiwa dan sebahagian besarnya adalah lumba motosikal haram yang berlaku di atas dada-dada jalan di Kuala Lumpur. Malah judul Remp-It itu sendiri diambil daripada istilah untuk penunggang motosikal (‘kapcai’) yang berbunyi kuat dan telah diubah kelajuannya.

Filem ini adalah tentang anak muda Melayu yang gemar berlumba secara haram di Kuala Lumpur. Saya pernah mengatakan bahawa fenomena anak muda yang berlumba motosikal haram di atas jalan raya kota di waktu malam hanya berlaku di bandar-bandar di Malaysia terutama di Kuala Lumpur. Fenomena aneh ini tidak berlaku di Singapura, tidak terjadi di Bangkok, Manila atau Jakarta. Lebih aneh ia hanya berlaku di kalangan anak muda Melayu dan sangat jarang membabitkan pemuda Cina atau India. Dalam perlumbaan haram ini hadiahnya adalah daripada pertaruhan iaitu dalam bentuk wang dan juga anak gadis yang dikenali sebagai gadis ‘bohsia’ atau ‘Minah Rempit’ (iaitu gadis yang gemar membonceng si pelumba haram dan kadang-kadang turut menunggang motosikal). Gejala anak-anak muda yang berlumba motor haram ini juga dikaitkan dengan penggunaan dadah, minuman keras dan juga seks bebas (mangsanya ialah si minah Rempit atau bohsia. Justeru, fenomena ini sebenarnya perlukan kajian psikologi dan sosial.

Walaupun filem Remp-It cuba membongkar kehidupan ‘Mat-Mat Rempit’ ini, tetapi ia tidak pula berminat untuk membuat analisis psikologi yang mendalam terhadap watak-wataknya. Oleh itu filem ini hanya mempunyai jalur cerita yang nipis dan mudah. Walaupun sudah separuh berjalan filem ini hanya memaparkan Madi (Farid Kamil) iaitu seorang pengantar surat (yang sering diistilahkan juga sebagai ‘Mat Despatch’) tetapi pada waktu malam dia gemar berlumba haram. Dia dibantu oleh Macha (Cat Farish), seorang mekanik motor yang berupaya mengubah enjin motosikal Madi supaya lebih berkuasa dan laju dan juga sering terlibat dalam menganjurkan perlumbaan haram. Teman wanita Madi ialah Leka (Julia Hana), seorang gadis bohsia yang kemudian berpindah kepada Rizzo (Aqasha). Kemunculan Spark (Zul Huzaimy), seorang lagi jaguh lumba motor haram, mencabar kehandalan Madi di atas jalan raya. Maka berlaku pertembungan dan persaingan antara kumpulan Madi dan kumpulan Spark – persaingan dalam perebutan kejaguhan motosikal dan perebutan wanita yang mana akhirnya menuntut korbannya sendiri.

Sebuah filem yang awal menggambarkan anak muda dan obsesi terhadap motosikal ialah The Wild One (1953), filem lakonan Marlon Brando arahan Laslo Benedek. Filem ini juga berkisar berkisar tentang persaingan dua kumpulan motosikal anak muda. Subjek filem ini sebenarnya adalah gambaran keganasan sosial di New York. Filem ini menunjukkan keganasan kumpulan motosikal yang bertentangan hingga pernah diharamkan tayangannya oleh Badan Penapis Filem Britain. Bagi Remp-It, filem ini memang sekali imbas dikatakan akan memalukan orang Melayu.

Keegoan

Tetapi inilah realitinya kehidupan anak muda ‘Mat Rempit’ dan ‘Minah Bohsia’ serta ‘Minah Rempit’. Madi, Macha, Spark, Leka dan Rizzo ialah anak-anak muda Melayu yang semuanya terlibat dalam perlumbaan haram, gengsterism, dadah, minuman keras dan seks bebas. Mereka adalah gambaran anak-anak muda yang tidak punya matlamat dan hala tuju dalam hidup. Mereka menunjukkan keegoan dan kehandalan mereka pada motosikal di jalan-jalan raya. Anehnya mereka bukanlah penentang atau rebels kerana Madi, Leka dan Macha ditunjukkan masih menghormati orang tua dan ibu bapa mereka. Barangkali, mereka puas dengan sorakan dan kemudian habuan wang pertaruhan dan seks sebagai jalan melepaskan tekanan hidup. Segala-galanya berjalan dengan pantas.

Bagi yang mencari sebuah kisah dalam struktur plot yang penuh elemen melodrama, maka ini bukan filemnya. Filem ini hanya gemarkan imej dan visual serta kesan bunyi, plot cerita sekadar menyokong. Pendekatan ini biasa dilakukan oleh pengarah generasi baru Hollywood yang menghasilkan filem seperti The Rock, Con Air, Pearl Harbour, Seven dan The Armageddon. Dalam Remp-It yang dipaparkan hanyalah cebisan peristiwa dan kehidupan anak muda yang tidak punya matlamat, dan sebab itulah kita bagai menonton sebuah paparan perlumbaan dan berakhir dengan kematian sebagai hukuman. Menonton filem ini kita sebenarnya bagai berada di tepi jalan-jalan dada kota Kuala Lumpur untuk turut menyaksikan perlumbaan tersebut.

Bagaimanapun, pada saya filem ini mempunyai kepentingannya sendiri. Filem ini merakamkan satu bentuk budaya kehidupan anak muda Melayu di Kuala Lumpur. Mereka anak muda yang sebenarnya menghadapi tekanan hidup akibat persaingan sosioekonomi yang keras di kota, lalu mengambil jalan mudah melepaskan tekanan tersebut di dada jalan. Kehidupan yang dipaparkan ini saya percaya akan berlalu ditelan zaman apabila pendidikan dan sosiobudaya kita semakin meningkat dan seimbang. Ketika itu filem ini telah menjadi perakam sosial yang menarik untuk dianalisis kemudiannya.

Kesimpulan yang aku dapat buat setelah menonton filem Rem-It nie bersama hubby tersayang (hari Sabtu 120807 jam 9.00 malam) mang best citer nie. Even agak hot n sexy, tapi itulah realiti kehidupan ‘mat rempit’ & ‘minah rempit’. Aku jugak x terlepas mempunyai kekawan dr golongan ini. Hakikatnya, gejala yang tidak sihat nie memang berleluasa di kawasan bandar² besar yang mana berlaku gejala lumba haram dikalangan anak muda zaman sekarang. Whatever, kesan dalam filem ini agak baik dan memberi fokus yang amat baik kepada remaja yang terlibat. Wallahualam.. yang baik jadieqkan ikhtibar dan yg buruk itu jadieqlah sempadan.

2 Responses to “”

  1. kacamata Says:

    Yang aku nampak,lepas tonton filem ni satu malam tu , kaum rempit ni terussss lumba kat jalan. Bangga oo kisah kaum ni ditayangkan. “hero”la katakan.

  2. shiemahalim Says:

    Actually, kalu yg x gheti nak menilai sesuatu filem.. tue yg jadieq sebaliknya. Bagik shiemz, ambek ikhtibar la.. yg baik jadieqkan sempadan… Kalu x tayang remp-it nie pun, gejala merempit nie pun still ade gak… Sukar dibendung… Terletak pada diri penonton tue sendirik…😀

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s


%d bloggers like this: